Twitter

Categories

Tags

About

About Me
Just an ordinary girl living her simple life. Love blogging, photography, and reading. Salam and hello beautiful soul! Have something to ask me? Click here →

Popular Posts

Langkau ke kandungan utama

Travelog Umrah Pertama: Persediaan Awal


Ini merupakan pengalaman umrah pertama Fa masa tahun 2015 yang lepas. Harini baru ada masa nak post kat sini. Dan segala yang Fa tulis ni Fa dah tulis awal. Tinggal copy paste je kat sini.


Dari tahun 2014 lagi kami sekeluarga sudah berhajat hendak pergi mengerjakan ibadah umrah. Fa juga sebelum ini selalu berdoa agar suatu hari nanti ada peluang untuk jejakkan kaki ke tanah suci. Walaupun keadaan Fa masa itu dari segi kelapangan masa dan kewangan memang belum mengizinkan lagi.


Sebab Fa bekerja di sektor swasta, memang bukan senang-senang nak dapat cuti lama 2 minggu. Dari segi kewangan pula kalau nak diikutkan memang tak lepas. Berkat doa, keyakinan, dan atas izin Allah S.W.T.


Alhamdulillah......syukur.


Dapat juga akhirnya kami sekeluarga ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah umrah. Allah sahaja yang tahu betapa gembira, sedih dan bersyukur kami semua akhirnya dijemput Allah ke sana. Buat Fa yang masih bujang ini, hampir-hampir sahaja terlepas peluang nak ke sana. Fa hanya anggap itu semua ujian dari Allah untuk tengok kesungguhan Fa nak ke sana.


Amalkan Baca Doa Khusus Sejak Di Malaysia Lagi
--------------------

Bila dah sampai sana, alhamdulillah seronok rasanya. Diizinkan Allah dapat masuk ke dalam Masjid Nabawi dan kerjakan umrah pertama di Masjidil Haram serta bersolat di masjid-masjid sepanjang aktiviti lawatan. Semasa masih di Malaysia lagi kena rasa yakin boleh lakukan semua aktiviti itu. Ustaz pun tak sarankan makan ubat untuk halang darah haid daripada keluar.


Fa ikut, dan amalkan baca doa khusus yang ustaz bagi semasa ada di Malaysia lagi. Alhamdulillah berbaloi sebab dapat merasai pengalaman bersolat di kedua-dua masjid agung itu.



Persediaan Sebelum Mengerjakan Umrah
--------------------

Ada beberapa persediaan sebelum ke tanah suci yang kami dah buat:

Memilih ejen dan pakej umrah yang dipercayai

Pendaftaran dan pembayaran

Penyediaan, pengesahan dan serahan dokumen berkaitan

Letter of Consent ~ ada kisahnya

Mengikuti kursus umrah

Suntikan umrah

Penyediaan kelengkapan umrah

Fahami jadual umrah


Berkenaan pemilihan agensi umrah, kami serahkan kepada abang. Dan akhirnya Andalusia Travel & Tours menjadi pilihan kami untuk ke tanah suci kali ini. Segala pendaftaran, pembayaran dan serahan dokumen diuruskan oleh abang Fa sendiri di cawangan Andalusia di Melaka.



Ringkasan Pengalaman Umrah Bersama Andalusia Travel & Tours
--------------------

Pengalaman umrah setiap orang mungkin berbeza mengikut agensi umrah dan pakej yang kita pilih. Kami mengambil pakej umrah saja, bukan umrah dan ziarah.


Berikut adalah rumusan pengalaman kami sekeluarga sepanjang 2 minggu menunaikan umrah bersama Andalusia Travel & Tours:

1. Persediaan sebelum ke tanah suci

2. Berlepas ke Jeddah

3. Berangkat ke Madinah

4. Sampai di Madinah

5. Lawatan sekitar Madinah

6. Ziarah Wida' (Ziarah Selamat Tinggal)

7. Berangkat ke Mekah

8. Singgah miqat di Bir Ali

9. Menunaikan umrah pertama

10. Lawatan sekitar Mekah

11. Singgah miqat di Ja'ranah

12. Melakukan umrah badal

13. Mendaki ke Gua Hira' (Fa tak pergi)

14. Singgah miqat di Tanaim

15. Menunaikan umrah terakhir (semoga ini bukan umrah yang terakhir dalam hidup)

16. Tawaf Wida' (Tawaf Selamat Tinggal)

17. Berangkat ke Jeddah

18. Berlepas pulang ke Malaysia


Pakej umrah yang kami ambil ini adalah tanpa ziarah sebab kami nak terus tunaikan umrah. Maksudnya takde pergi ke Istanbul, atau ke negara lain. Dan jadual penerbangan kami nanti akan terus masuk ke Madinah dulu. Jadi tak perlu memakai pakaian ihram.


Berbanding sesiapa yang dijadualkan masuk ke Mekah dulu, mereka dikehendaki berpakaian ihram apabila kapal terbang melintasi ruang udara di miqat Qarnul Manazil. Biasanya pengumuman akan dibuat oleh juruterbang nanti.


Oktober 2014: Ambil Kad Pengenalan Baru di JPN
--------------------

Pagi itu selepas saja bersarapan, terus Fa dengan mak bersiap-siap hendak ke Putrajaya. Tujuannya hendak pergi mengambil kad pengenalan baru kami di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) yang telah siap. Untuk hari Sabtu dan Ahad, waktu operasi kaunter di JPN dibuka dari pagi hingga ke tengahari sahaja.


Yang Fa tahu, Kaunter Serahan saja sepatutnya yang dibuka. Tapi apa yang Fa tengok tadi, kaunter untuk permohonan MyKad juga ada dibuka. Pengambilan MyKad yang telah siap boleh diambil di Kaunter Serahan di Tingkat Bahagian Kad Pengenalan. Semasa mula-mula sampai di sana, orang belum ramai lagi. Jadi giliran menunggu tak lama sangatlah.


Untuk kad pengenalan baru ini ada 2 gambar kita dalam 1 kad itu:
  • Gambar kecil
  • Gambar besar

Pegawai di kaunter itu cakap 2 gambar itu bertujuan untuk keselamatan. Sebenarnya kami terfikir nak buat kad pengenalan baru ini sebab kad mak selalu ada masalah bila nak berurusan. Jadi ini untuk menyenangkan maklah. Bila dah ada kad baru, senang apabila nak berurusan nanti.


Kebetulan Fa dah ambil cuti separuh hari, jadi Fa gunakan masa terluang ini sebaiknya. Lagi pun, senang nanti kami nak berurusan untuk pergi umrah bulan Februari tahun depan ini. Itu pun rancangan saja, kalau diizinkan Allah dan tiada apa-apa halangan untuk kami semua pergi.


8 November 2014: Pengalaman Pertama Buat Pasport Malaysia Antarabangsa
--------------------

Hari ini Fa sekeluarga sudah bercadang nak buat pasport antarabangsa di Imigresen, Jalan Reko. Bagi Fa dan mak ini merupakan pengalaman pertama kami. Bagi kakak pula tidak sebab dia dah pernah buat sebelum ini. Jadi kakak ikut hari ini sebab nak perbaharui pasport saja.


Pasport ini merupakan dokumen penting jika ingin ke luar negara dan memohon Visa dari negara Arab untuk mengerjakan umrah. Selepas kakak Fa membuat carian di internet dan Fa juga ada bertanya kawan-kawan lain yang pernah ada pengalaman.


Barulah kami tahu yang pasport ini juga boleh dibuat pada hari hujung minggu. Kalau waktu hari bekerja, susah sikit. Sebab Fa masa ini kena tolong ganti kerja kawan di tempat kerja. Jadi memang agak susah nak dapatkan kelulusan cuti walaupun untuk sehari. Kakak Fa pula, bulan ini sudah 6 hari dia terpaksa ambil cuti atas sebab urusan peribadi.


Keluar Dari Rumah


Pada mulanya, Fa fikir nak bergerak ke sana dalam pukul 7 pagi dari rumah. Lepas saja dengar cerita kawan yang seawal pagi orang dah ramai beratur, terus kami tukar rancangan. Bertolak selepas solat Subuh pula. Sampai sahaja di Imigresen, Fa tengok memang betul orang dah ramai. Sedangkan waktu masih awal pagi lagi itu. Fa terus masuk dalam barisan untuk beratur. Masa itu baru pukul 6 lebih pagi saja.


Kami pergi bertiga - Fa, mak dan kakak. Masa awal pagi ini, ramai orang Cina yang beratur. Ya, mungkin sebab mereka tak perlu kerjakan solat Subuh terlebih dahulu. Dalam pukul 7 lebih pagi macam itu, barulah nampak ramai muka orang Melayu datang ke pejabat Imigresen ini. Kadang-kadang orang datang lambat mungkin juga sebab faktor rumah mereka yang jauh. Kami sendiri pun selesaikan solat Subuh dahulu di rumah. Nasib baik rumah kami dekat saja, jadi tak lambat sampai.


Mendapatkan Nombor Giliran


Tepat pukul 8 pagi, orang ramai sudah boleh beratur untuk dapatkan nombor giliran. Sebelum ini Fa pernah dengar nombor giliran selalunya akan dihadkan sampai 100 saja. Tapi yang Fa tengok, nombor giliran ada juga yang melebihi 100. Atau mungkin Ahad je kot nombor giliran tu dihadkan.


Bila sampai giliran, nombor Fa dipanggil. Pegawai kaunter itu bertanyakan maklumat tertentu berkenaan diri Fa. Tujuannya untuk dimasukkan ke dalam sistem berkomputer. Selesai di situ, Fa diarahkan ke tempat mengambil gambar pula.


Untuk makluman, latar belakang pasport ni berwarna putih. Dan hasil akhir gambar kita itu nanti akan menjadi warna hitam putih. Jadi, tak payahlah pakai mekap sangat. Buang masa saja sebab nanti tak nampak pun warna mekap itu nanti.....huhuhu.


Kadar Bayaran


Selepas bergambar tadi, Fa disuruh tunggu sekejap. Nanti nombor giliran Fa akan dipanggil sekali lagi untuk tujuan pembayaran pula. Bagi yang baru pertama kali macam Fa dan mak ini, bayaran dikenakan adalah RM100 untuk 2 tahun. Sekiranya ingin memperbaharui pasport, Fa tengok tetap kena ambil gambar juga. Dan pembaharuan yang dibenarkan adalah untuk tempoh 2 tahun saja. Bayaran pula sama macam orang yang baru pertama kali nak buat pasport.


Kadar bayaran untuk tempoh di atas adalah semasa tahun 2014. Untuk tahun 2020 dan seterusnya ini, Fa tak pasti pula berkenaan kadar bayaran dan tempohnya. Lepas Fa selesai bayar, Fa telah diberi resit rasmi. Dengan resit itu beserta kad pengenalan asal nanti, akan digunakan untuk mengambil pasport yang sudah siap.






Kesimpulannya, kalau nak buat pasport atau nak perbaharui pasport, perlu bawa kad pengenalan asal saja dan tak perlu bawa salinan pun.



Selepas itu, sediakan juga siap-siap untuk duit bayaran yang akan dikenakan. Untuk pengetahuan, dalam 1 hari saja pasport dah siap. Cepat. Cuma yang lambat sebab kena tunggu giliran dipanggil. Apabila nombor giliran dah sampai, proses cepat saja. Lagi cepat daripada nak buat kad pengenalan baru.







Keluar saja dari Imigresen, ada ternampak orang jual sarung pasport. Fa terus beli untuk Fa dan mak sekali. Lepas ini nak kena fikir pasal suntikan umrah dan hal-hal berkaitan umrah yang lain pula.








Gadis kampung yang cintakan ketenangan dan damai. Mudah terhibur. Salam dan hello kepada semua 👋🏼

Ulasan

© 2020 Farah Manap